Wednesday, March 9, 2011

Berpolitik untuk Islam dan bukan 'mempolitikkan agama'



Lihatlah pada angka majoriti di atas, masih ramai rakyat yang memerlukan pencerahan minda dengan kefahaman Islam yang sebenar. Namun itu bukan penyebab untuk kita pulang dengan rasa hampa. Syabas kepada para petugas dan ahli  PAS yang sentiasa komited dengan perjuangan. Janji Allah tetap benar, Islam pasti akan menerajui dunia suatu hari nanti.



by Pas Representative Council of Uk & Eire 



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ekoran daripada kekalahan PAS di PRK Kerdau dan Merlimau baru-baru ini, pihak UMNO-BN dengan sokongan tidak berbelah bagi surat khabar Melayu utama negara terus-terusan memburukkan PAS dan perjuangannya. Selain daripada itu, tohmahan peribadi juga telah dilontarkan kepada pimpinan PAS sendiri khususnya kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pihak PRC UK-Eire amat kesal dengan apa yang berlaku dan simpati kepada golongan yang memburukkan PAS kerana tindakan tersebut menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang salah satu bahagian tuntutan ad-din Islam ini.

PAS : Perjuangan Mengembalikan Manusia Kepada Allah

Pihak UMNO-BN melalui media berat sebelahnya sangat galak menyatakan bahawa PAS selama ini memperalatkan agama (Islam) untuk mendapatkan kuasa politik. Hakikatnya, perjuangan PAS di dalam pentas politik negara adalah demi memenuhi tuntutan agama (Islam) itu sendiri.

Malahan, Islam itu bukan hanya di masjid, bukan hanya solat, puasa, zakat, dan haji tetapi merupakan satu sistem hidup (ad-din) yang syumul (lengkap/menyeluruh) - di mana ianya perlu dilaksanakan dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam pentadbiran, pengurusan sumber negara, dan pelbagai aspek lain dengan cara yang diredhai Allah s.w.t.

Semenjak lebih daripada separuh abad yang lalu, perjuangan PAS merupakan sebuah usaha untuk mengembalikan manusia kepada Allah s.w.t khususnya di Malaysia. Setelah dijajah semenjak 1511 lagi, tanah air kita telah tunduk kepada tuntutan penjajah sehingga sedikit demi sedikit Islam mula terhakis dalam hidup pemerintah dan rakyat.

Allah s.w.t. BUKAN lagi menjadi yang paling TERTINGGI dalam hati kebanyakan umat Islam di Tanah Melayu (Malaysia).

Mengaku Islam Namun Ingkar Pada Perintah Allah, Bagaimana?

 Walaupun selepas mencapai kemerdekaan, ketundukan kepada sistem ciptaan manusia yang dibawa oleh penjajah masih ada. Hukum dan perintah Allah dikebelakangkan oleh pemerintah ketika itu (sehinggalah hari ini). Tidak dinafikan, banyak yang telah diusahakan oleh pihak UMNO-BN untuk mendaulatkan Islam di Malaysia namun pada masa yang sama BANYAK JUGA YANG DITINGGALKAN oleh mereka.

Allah s.w.t. berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."

Surah al-Baqarah : 208

Itu perintah Allah. Perintah Allah kepada orang-orang yang mengaku beriman untuk mematuhi segala hukum-hukum yang Allah tetapkan, bukan sekadar mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Namun UMNO-BN seolah-olah tidak menyedari akan perintah ini. Sebagai contohnya, UMNO yang diberikan amanah memerintah pasca kemerdekaan negara telah lama mengambil hasil judi loteri sebagai sumber pendapatan parti.

Terang lagi bersuluh, Allah s.w.t menyatakan dosa besar arak dan judi di dalam surah al-Baqarah ayat 219:



"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..."

Tambahan, pelajar-pelajar kita di Malaysia kini diajar (menurut sukatan pelajaran yang terkandung dalam buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 4) bahawa judi adalah salah satu dosa besar yang WAJIB dihindari.

Begitu juga pengamalan riba'; juga merupakan salah satu dosa besar. Allah mengisytiharkan perang terhadap sesiapa yang mengambil riba' seperti firman-Nya:

"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." (279)
Surah al-Baqarah

Pihak pemerintah yakni UMNO-BN yang menyediakan sukatan pelajaran tersebut tidak pula melakukan seperti apa yang diajarkan kepada pelajar-pelajar kita di Malaysia. Sungguh ironik sekali!

Namun itu bukanlah perkara utama yang hendak dirisaukan tetapi sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah HAKIKAT bahawa UMNO-BN yang mengakui kewujudan ALLAH kelihatan tidak bersungguh-sungguh untuk menunaikan perintah Allah dalam segala aspek kehidupan individu dan negara. 

Hal ini boleh dilihat melalui tindakan mereka semenjak sebelum kemerdekaan lagi yang 'menghalalkan apa yang Allah haramkan' (contohnya loteri tersebut di atas) juga di bawah pemerintahan mereka, bercambahnya bank-bank konvensional yang menjadikan sistem riba' (interest) sebagai paksi untuk mengaut keuntungan.

Satu Dalam Seribu

Apa yang disebutkan di atas, hanyalah 'satu dalam seribu' tindakan UMNO-BN yang mengaku Islam dan beriman tetapi mereka tidak mempamerkan keislaman dan keimanan seperti apa yang mereka akui itu.

Mereka bangga dengan penganjuran musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa setiap tahun, mereka bangga dengan peranan besar Malaysia dalam OIC, tetapi sayang, mereka tidak pernah merasa bangga untuk menegakkan Islam yang syumul dalam sistem pemerintahan mereka.

Mereka tidak bangga untuk meletakkan hukum Allah di tempat yang tertinggi. Mereka tidak bangga mengamalkan gaya hidup Islam yang dibawa Rasulullah.

Lihat sahaja kepada cara hidup pimpinan tertinggi UMNO - sejauh mana Islam dipraktikkan, sebagai contoh, sejauh mana wanita UMNO (dan rakyat seluruhnya) telah CUBA diselamatkan/menyelamatkan diri daripada azab neraka dengan memenuhi tuntutan menutup aurat yang Allah perintahkan? (melalui nasihat/pendidikan)

Banyak, sungguh banyak yang UMNO-BN belum buat untuk membuktikan komitmen mereka menegakkan dan menyebarkan Islam (baca: memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada orang Islam dan juga bukan Islam) di Malaysia.

PAS Bawa Islam Sebab Tiada Parti Lain Yang Serius Bawa Islam

Apabila PAS menyebut tentang Islam secara berulang-ulang kali dalam kempen-kempen politik, UMNO-BN mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat seperti PAS 'mempergunakan agama demi kepentingan politik'.

Sedangkan, apa yang PAS lakukan adalah 'berpolitik demi kepentingan Islam'.

Kami di PRC UK-Eire telah melihat sendiri kehidupan kebanyakan pimpinan PAS; hidup mereka tidak mewah. PAS tidak terlibat dalam politik demi keuntungan duniawi tetapi adalah semata-mata untuk menyelamatkan diri dan seluruh umat manusia yang ada di Malaysia daripada azab api neraka di akhirat kelak.

Menyelamatkan diri daripada azab api neraka bukanlah dengan 'menyertai atau menyokong PAS' seperti yang dimomok-momokkan oleh media UMNO-BN tetapi dengan berusaha untuk memenuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dengan sebaik-baiknya.

Kewujudan PAS pula merupakan satu manifestasi keseriusan usaha untuk benar-benar mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dalam skala yang lebih besar iaitu dalam aspek bernegara/pemerintahan.

PAS komited untuk mendidik rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya tentang Islam dan seterusnya mengajak khususnya umat Islam di Malaysia untuk mengamalkan Islam dengan sepenuhnya dalam hidup ini demi mendapat keredhaan Allah s.w.t. InsyaAllah.

Maka, besarlah harapan PRC UK-Eire agar media UMNO-BN tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat berkenaan perjuangan PAS di Malaysia.

Penutup

Pastinya, PRC UK-Eire (malahan PAS Pusat sendiri) tidak dan tidak akan menyatakan bahawa 'menyertai/menyokong' PAS akan membawa anda masuk syurga.

Tetapi, Allah s.w.t telah menyatakan dalam al-Quran yang mulia:

"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (11)

"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar" (12)

Surah as-Saff

Sesungguhnya, perjuangan PAS tidak lain melainkan untuk membela dan menegakkan agama Allah sepeti yang diperintahkan-Nya. Moga-moga dengan keikhlasan pejuang agama-Nya dan rahmat Allah jua akan melayakkan setiap pejuang agama-Nya untuk mendapat syurga yang dijanjikan.

 Allahu'alam.


Komen Anda

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More