Bukankah ada yang berkata ia perlembagaan kafir?
Perlembagaan adalah alat. Al-quran dan as-sunnah itu adalah matlamat. Jadi, perlu untuk kita pilih kedua-duanya sekali. Alat perlu untuk mencapai matlamat. Perlu juga tahu menggunakan alat itu sebaiknya bagi mencapai matlamat.
Kita dihempapkan dengan Perlembagaan ini oleh penjajah. Kerana ini yang dipilih oleh nenek moyang kita demi sebuah kemerdekaan. Memang ia jauh dari kesempurnaan, tapi itu bukan alasan untuk kita tinggalkan saja. Kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk menjalankan dakwah Islam melalui perlembagaan yang ada, tapi dalam masa yang sama, berusaha untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang apa itu negara Islam yang sebenar-benar Islam. Ramai orang mengkritik Perlembagaan. Namun tak ramai yang betul-betul faham apa itu Perlembagaan.
Walaupun tidak sempurna, masih terdapat ruang-ruang untuk kita melaksanakan Islam.
Kerana Perlembagaan boleh menjadi medium untuk kita berdakwah. Seandainya kita benci secara total, apa yang ada dalam fikiran kita adalah untuk ubah ubah ubah. Tak ada yang lain. Dengan menyayangi perlembagaan, kita menyemai rasa ingin tahu tentang Perlembagaan ini. Dan dengan menyelongkar setiap artikel dalam Perlembagaan ini, kita boleh mencari tapak untuk kita berpijak dalam tempoh kita masih belum berjaya menguasai pentadbiran. Kata Prof Aziz Bari, Perlembagaan sedia ada sudah cukup untuk kita laksanakan undang-undang Islam.
Jika setakat mahu laksanakan hudud, cukup dengan pinda Kanun Keseksaan. Tiada kena mengena dengan Perlembagaan.
"Sudah jelas termaktub dalam perlembagaan kita pada Perkara 3 (1) bahawa agama bagi Persekutuan adalah Islam. Penggubal perlembagaan dahulu iaitu Suruhan jaya Reid meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan tidak menyebut atau menghuraikan atau mencadangkan secara terperinci apa-apa terhadap status agama Islam."
Sedangkan tidak ada disebut langsung dalam perlembagaan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan hanya pada perkara ritual, suruhanjaya Reid membiarkannya kosong agar kita dapat mengikut selera kehendak serta percaturan cara pemerintahan kita.
Maka hal ini memberikan satu harapan kepada parti yang cintakan agama Islam untuk menerapkan segala nilai-nilai serta undang-undang yang berlandaskan Islam di negara Malaysia ini berlandaskan apa yang termaktub pada Perlembagaan.