Wednesday, May 11, 2011

Tiada MCA di Palestin

Oleh Subky Abdul Latif


Ketika Dato' Seri Najib Razak mengajak PAS berpakat dengan UMNO, maka Fatah dan Hamas di Palestin mencapai satu keputusan yang mengejutkan. Suatu yang mustahil dicapai sebelum ini, berjaya dipersetujui setakat ini.


Hamas dan Fatah bersetuju untuk bersatu dan Amerika Syarikat pula tidak keberatan jika Hamas dapat membentuk sebuah kerajaan perpaduan Palestin bersama Fatah. Sekalipun Amerika menyediakan syaratnya, tetapi kedua-dua parti yang berseteru itu sudah lebih dahulu mencapai persetujuan berdamai dan membentuk kerajaan bersama.


Perseteruan Fatah dengan Hamas itu dirasakan oleh pemerhati samalah dengan permusuhan antara UMNO dan PAS. Fatah itu dikira UMNO, Palestin pula Hamasnya. 


Kalau Hamas dan Fatah boleh mencapai persetujuan untuk berdamai, mengapa pula Fatah dan Hamas di Malaysia iaitu UMNO dan PAS tidak boleh mencari titik persetujuan?


UMNO seola-olah sudah bersedia mengikut cara Fatah, tetapi PAS pula tidak dapat mengikut sikap terbaru Hamas. Maka mereka menempelak PAS kerana terlalu keras kepala, tidak langsung menimbang kesediaan UMNO itu sebaliknya memilih DAP pimpinan LIM Kit Siang yang dibenci oleh Melayu UMNO daripada UMNO yang sesama Melayu. 


Apa yang terjadi di Palestin itu ialah tidak ada MCA dan MIC serta parti-parti lain. Fatah tidak mengharap sesiapa lagi untuk membantunya berhadapan dengan Israel. 


Ia merampas kuasa dari Hamas di Tebing Barat dulu dengan harapan ia mendapat faedah politik untuk menghadapi Hamas. Disangkanya Hamas dapat dihancurkan di bumi Palestin. Dan ia akan mendapat bantuan Amerika dan sebagainya bagi mendapatkan konsesi pembentukan negara Palestin atas persetujuan Israel dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.


Hamas yang berundur ke Gaza itu tidak akan bertahan lama. Hamas akan hancur kerana terkepung dikanannya Fatah dan di kirinya Israel. Tetapi Fatah tidak dapat apa-apa daripada Israel dan tidak dapat apa-apa juga dari Amerika. Dan Hamas pula tidak mati bahkan lumpuh pun tidak. Hamas sekadar susah dan terhimpi saja, tetapi ia terus melawan.


Dengan keadaan yang ada Fatah tidak dapat apa-apa sampai bila-bila. Sesudah penat dan kecewa menghadapi karenah Israel, maka tiada tempat lain Fatah hendak mengadu, melainkan kepada Hamas saja. 


Hamas sanggup dan tahan bersusah payah sejak kuasanya dirampas Fatah dan sejak ia berundur ke Gaza. Tidak ada apa yang Fatah dapat buat untuk melumpuhkan Hamas di Gaza.


Tiada jalan lain untuk menambah kekuatan Palestin melainkan Fatah sanggup berkongsi kuasa yang dirampasnya dulu dengan Hamas. Tidak ada pihak daripada kalangan Palestin yang dapat menghalang Fatah berkongsi kuasa dengan Hamas. Yang tidak suka Fatah berbaik dengan Hamas hanya Israel. Tetapi Israel tidak memberi apa-apa kepada Fatah baik ia berkawan dengan Hamas atau bermusuh dengan Hamas. 


Fatah tiada pertubuhan lain disampingnya untuk menghalang usaha berbaik dengan Hamas. Tidak ada MCA, Gerakan dan MIC yang hendak mempertikai keputusan Fatah itu. 


Dan Palestin sendiri tidak ada kaum minoriti yang perlu dijagakan dan boleh menyusahkannya dalam apa keadaan.


Sama ada Fatah ikhlas atau sekadar berpolitik dengan sikapnya terhadap Hamas tidak berbangkit. Tiadak ada apa yang dapat dipolitiknya. lagi kiranya ia mahu mengkhianati Hamas lagi selepas ini. Sama ada ia ikhlas atau sebaliknya, Hamas tetap macam keadaan yang ada. Justeru itu ikhlas lebih menyenangkan Fatah.


Hamas dapat menimbangkan sikap baru Fatah itu kerana ia boleh dapat apa yang pihak luar bagi pada Fatah. Hamas tidak dapat apa daripada orang lain selain daripada sukarelawan organisasi masyarakat (ormas) dari serata dunia. Sumber ormas tidak sebanyak yang kerajaan luar beri kepada Fatah. 


Hamas akan dapat semua tempias rezeki itu. Keadaan Hamas akan lebih baik daripada keadaan Hamas sekarang. Dalam semua keadaan Fatah lebih memerlukan Hamas daripada Hamas memerlukan Fatah. 


Kecacatan Fatah itu banyak dibandingkan dengan UMNO. Fatah sudah tidak ada apa-apa. Tiada apa yang ditakut dan dicurigai oleh Hamas. Hamas sudah biasa susah dan ia sanggup susah lagi. 


Setakat ini pelawaan UMNO itu masih dikira ajak-ajak ayam. Sekalipun UMNO dalam keadaan yang cemas, keadaanya belum sampai ke tahap yang dihadapi Fatah. 


UMNO masih menguasai jentera kerajaan. Jentera kerajaan bekerja lebih keras daripada UMNO bagi menyelamatkan UMNO. UMNO tidak dapat berharap kepada UMNO tetapi harapannya ialah kepada semua jentera kerajaan yang dikuasainya. 


Pelawaanya kepada PAS sekadar untuk mengeliru orang awam Melayu bagi menunjukkan ia baik. Umpannya megena jika orang PAS juga terasa UMNO rupanya baik. Seolah-olah UMNO sekarang bergantung kepada sokongan orang Melayu daripada luar UMNO. Jika PAS bersetuju maka senanglah UMNO menghadapi pilihanraya umum yang sudah dekat itu. 


Pelawaannya itu adalah ajak-ajak ayam. Tidak ada apa yang ia sanggup lepaskan kepada PAS. Ia tidak akan beri Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kepada PAS. Bahkan ia tidak akan beri separuh daripada kerusi menteri kepada PAS. Paling banyak ia akan beri satu atau dua kerusi menteri seperti yang diberinya kepada Dato' Asri Muda dan Hassan Adli tahun 1974 dulu.


Oleh kerana MCA ada di Malaysia, maka belum tentu penerimaan PAS itu disenangi oleh MCA. Sekiranya PAS seronok dengan tawaran UMNO itu, PAS pun tinggalkan DAP. Tentulah DAP tidak akan percaya kepada PAS lagi. Jika ketika itu MCA dan sekutu-sekutu selain UMNO tidak terima penyertaan PAS, maka PAS akan hilang kesemuanya. 


UMNO pelawa PAS itu bukan kerana ia sukakan PAS. Tetapi kerana sudah tahu ia tidak lagi dapat bergantung dengan MCA dan tiada jaminan akan disokong oleh pengundi bukan Melayu khususnya Cina.


Pergantungan sekarang tinggal kepada orang Melayu saja. Kira orang Melayu PAS dapat menyokong calon Melayu UMNO, semua undi Cina tidak akan diberi pada UMNO, UMNO akan menang.


Pengundi Melayu UMNO belum tentu mengundi calon PAS kerana PAS akan mengurangkan kuasa UMNO.   Dan kalau pengundi PAS akan memberi sokongannya kepada DAP, jelaslah UMNO tidak punya masa depan yang cerah.


Dalam politik di Malaysia sekarang tiada siapa lagi yang dapat bergantung kepada undi orang Melayu saja. Dan tidak ada parti politik yang ada masa depan kiranya ia mengambil berat tentang orang Melayu saja. UMNO seola-olah bergantung kepada orang Melayu saja. Kepercayaannya kepada undi bukan Melayu hampir tidak ada. Itulah sebabnya ia cuba memancing PAS.


Tetapi PAS mengenali keperluan politik sekarang. Ia bukan untuk menjaga kepentingan Melayu Islam saja. Ia mesti menjaga kepentingan dan keperluan semua kaum sesuai dengan slogan barunya PAS untuk semua.


Yang mahukan PAS sekarang ialah DAP. Sama seperti PAS mahukan DAP. MCA jelas tidak mahu PAS. Reaksi MCA kepada tawaran Najib kepada PAS ialah PAS mesti buang dulu perjuangan Islamnya. DAP tidak mengenakan syarat itu.


Mahu tidak mahu UMNO terpaksa jaga MCA. UMNO juga tertarik kepada DAP kalau DAP boleh digula-gulakan. kerana ia boleh dapat sokongan Cina melalui DAP. Menjaga MCA sama seperti menjaga biawak hidup. Tetapi mati dikerat dua, DAP tidak akan suka kepada UMNO sebabnya UMNO itu adalah simbol rasuah dan penyelewengan. 


Kalau di Malaysia tidak ada MCA dan parto-parti lain, mungkin apa yang dicapai oleh Fatah dan Hamas itu boleh diberi perhatian.

Komen Anda

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More