Malaysia pada dasarnya mengamalkan sistem politik Raja Berperlembagaan dan dan demokrasi berparlimen. Parlimen Malaysia terdiri dari 3 komponen; Yang Di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat terdiri daripada MP yang memenangi pilihan raya peringkat parlimen. Setiap mereka mempunyai pegangan politik masing-masing, sama ada terlibat dalam parti politik ataupun bersikap bebas. Sebuah parti dipilih menjadi kerajaan adalah berdasarkan majoriti mudah.
Apa yang perlu difahami di sini adalah proses pembentukan kerajaan pusat di Malaysia; rakyat memilih calon yang diketahui status pegangan politiknya, dan parti dengan jumlah wakil rakyat tertinggi, akan memerintah. Dalam skop penulisan ini, cukuplah untuk faham di Malaysia, kita mengamalkan ‘Indirect election’.
‘Direct Election’ merujuk kepada penubuhan sebuah kabinet politik secara terus oleh para pengundi; pengundi memilih para penjawat kabinet secara terus dan bukannya memilih parti pemerintah. Walaupun idea ini terlalu ringkas dan tidak menyeluruh, ia cukup bagi menyampaikan pemahaman.
Perdebatan tentang sistem demokrasi mana yang lebih baik merupakan satu isu basi; semenjak bertapaknya demokrasi. Negara-negara dunia secara am mengamalkan demokrasi perwakilan, atas sebab terkesan dengan penjajahan ataupun kerana perangkaan perlembagaannya mengambil negara sedemikian sebagai model. Lebih tepat lagi, British(negara Commonwealth) atau Amerika.
Anti-demokrasi perwakilan biasanya berhujah bahawa sistem ini tidak semestinya memilih kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat kerana adanya perbezaan jumlah pengundi sesebuah parlimen. Contohnya, jumlah pengundi parlimen Stampin ialah 71616 orang, Sibu 54695 orang; perbezaan ini tidak bermakna dalam sistem majoriti mudah biarpun ketara.
Blog post ini ialah ulasan ringkas tentang sebuah forum yang diadakan 30 oktober lepas yang membincangkan kerelevenan idea-idea yang disampaikan pada malam tersebut.
Ahli Panel
Prof. Dr. Abdul Aziz Bari
Seorang pakar perlembagaan yang mula dikenali ramai setelah peristiwa perubahan kuasa di Perak. Sifatnya tenang, dan walaupun pegangan politiknya jelas, beliau tidak terlalu berat sebelah dalam melemparkan pandangan. Optimistik dan juga relevan.
Hishamuddin Rais
Seorang aktivis yang lantang dan agak radikal. Terlibat mempunyai sejarah yang panjang dalam arena politik, malah pernah hidup dalam buangan selama 20 tahun. Sosialis dan juga skeptik.
Khalid Ja’afar
Siapakah Khlaid Ja’afar? Umum mengetahui bahawa dia pengarah eksekutif IKD, bagi yang mengetahui ‘skandal’ Anwar-Paul Wolfwitz dan pandangan beliau mengenai Islam(ceritanya cukup panjang) Khalid ini seorang liberal dan penyokong kapitalisme.
Hanipa Maidin
Seorang peguam yang fikrahnya memang jelas. Dia sendiri mengakui sebelum bermula, hujahnya tidak dapat lari dari mempromosi dan mempertahankan PAS.
Sesi pembentangan
Prof. Dr. Aziz Bari menekankan bahawa perlunya ada suatu sistem yang membolehkan rakyat memilih pemimpin secara terus, dianalogikan dengan sistem pemilihan PKR. Beliau menegaskan bahawa kebebasan media adalah perlu, serta hak memilih ahli Dewan Negara perlu diberikan kepada rakyat.
Beliau bersifat konservatif dan realistic dalam berhujah; pendapatnya tidak bertentangan dengan perlembagaan serta berdasarkan keadaan semasa Malaysia.
Hishamuddin Rais banyak mengkritik keadaan politik semasa. Dakwanya demokrasi di amalan prosedur bagi mewujudkan ilusi demokrasi; jika pilihan raya dapat menghasilkan perubahan, ia pasti diharamkan. Anda boleh mendalami lagi pemikiran beliau mengenai ini di sini: http://tukartiub.blogspot.com/2010/11/mari-kita-main-guli.html.
Menurutnya demokrasi hanya dicapai sekiranya wujud kejelasan idea; kelemahan sistem pilihanraya(parlimen/DUN) ialah jumlah pengundi sesebuah kawasan yang besar; sukar bagi individu mengemukakan idea(yakni menidakkan hak mereka) dan mencapai kesepakatan dalam membuat keputusan. Konsep baru yang dicadangkannya ialah perwakilan bagi setiap satu kawasan yang kecil bagi memelihara hak individu, memudahkan tugas para perwakilan, dan meminimumkan perbezaan setiap kawasan(analogi Stampin-Sibu), yang ditermakannya sebagai autonom, serta penting bagi setiap perwakilan mempunyai kelulusan tertentu.
Dia turut mengkritik PKR yang didakwanya lebih parah berbanding UMNO dalam isu politik wang, kerana calon PKR dipilih ahli parti dan bukannya perwakilan seperti dalam dalam UMNO; undi individu lebih mudah dibeli, maka jawatan dalam PKR pasti dikuasai mereka yang kaya(merujuk pada Zaid Ibrahim) atau mempunyai tauke di belakangnya.
Khalid Ja’afar berpendapat hanya direct election dapat mewujudkan demokrasi tulen kerana sistem perwakilan tidak dapat menjamin pemilihan kerajaan yang mendapat persetujuan majoriti rakyat. Model kerajaan demokrasinya ialah Zaman keemasan Athens 461-429 B.C. dibawah pemerintahan Pericles. Ujarnya, rahsia kejayaan Pericles ialah keunggulannya berpidato, serta kebolehannya memanipulasi rakyat jelata; setiap rakyat mempunyai hak yang sama dalam menyuarakan pendapat.
Katanya lagi tidak mustahil untuk melaksanakan konsep yang sama di Malaysia kerana adanya alternative e-voting. Kerajaan idealnya juga bersifat open source; setiap pengundi berhak memberi atau membuat pilihan dalam sesuatu perkara dan keputusan adalah berdasarkan undi majoriti.
Anda boleh membaca dengan lebih lanjut hujah beliau di sini - http://jalantelawi.com/2010/11/demokrasi-terus/
Hanipa Maidin pula menolak direct election. Baginya permasalahan yang timbul tidak berbaloi serta bercanggah dengan konsep Islam. Katanya kerajaan Islam yang dibawa PAS lebih berkesan sebagai alternatif kerana nilai-nilai yang wujud.
Respon hadirin
Antara persoalan yang dibangkitkan para hadirin ialah halangan dalam pelaksanaan idea para panelis. Seorang muslimin mempersoalkan keberkesanan idea Pak Khalid, ragu dengan kemampuan Malaysia melaksanakan demokrasi tulen sedangkan rakyat kita masih belum dapat mengatasi tembok assabiah antara kaum. Ujar Pak Khalid ia tidak mustahil; dia memperdebatkan China dan India yang baginya mengamalkan konsep demokrasi dan menjadi kuasa besar dunia, malahan menjadi penyelamat kepada kapitalisme.
Seorang blogger pula mempertahankan amalan demokrasi sedia ada, dan menyatakan dilema yang dihadapi Malaysia adalah berpunca dari sistem pelaksanaannya. Masalahnya pada pemimpin dan bukan bentuk demokrasi yang diamalkan sekarang ini.
Seorang wartawan dari Sin Chew Daily mengemukakan soalan tentang bagaimanakah caranya untuk menyampaikan kefahaman tentang kelebihan direct election kepada rakyat. Khalid Ja’afar dan Aziz Bari bersetuju bahawa media arus perdana memainkan peranan terpenting dalam membuka minda rakyat Malaysia.
Idea-idea radikal juga mendapat sambutan. Seorang hadirin mendakwa kelemahan negara ini terletak pada politik itu sendiri, kerana ahli politik tidak dapat mengelak dari menyalahgunakan kuasa. Dia turut mendakwa orang muda sepertinya harus dipilih menjadi penggerak kemajuan negara.
Keadaan bertambah menarik apabila seorang hadirin yang tampil berkongsi pendapat mendakwa dia seorang calon dalam pemilihan PKR. Dia bersetuju dengan pendapat Hishamuddin Rais dan mendakwa rakan seperjuangan yang memenangi pangkat mudah lupa diri.
Pendapat penulis
Forum ini secara jujurnya tidak begitu menjana idea baru yang realistik. Konsep yang dicanangkan Hishamuddin Rais pada pendapat saya ialah suatu versi Utopia sosialis. Konsep autonomnya bukan sahaja terlalu sukar untuk dilaksanakan dari perspektif ekonomi dan kesukaran pentadbiran, malah akan meluaskan jurang ekonomi dan menggalakkan perkauman. Sebuah autonom yang tiada kelebihan dalam menjana pendapatan pasti akan ketinggalan, serta tiada sebabnya orang Melayu, Cina dan India mahu hidup berasingan dalam jumlah yang sebegitu kecil. Jumlah perwakilan pastilah sangat ramai.
Khalid Ja’afar terlalu cetek dan naïf dalam mempertahankan pendapat. Kelebihan demokrasi tulen amat jelas namun pelaksanaannya adalah mustahil. E-voting mempunyai terlalu banyak kelemahan, malah tidak dapat mengatasi korupsi dan penipuan. Ada sebabnya sistem demokrasi tulen telah ditinggalkan hampir 3000 tahun, dan ada sebabnya kerajaan Athens tumbang. Dia juga bersifat pro-kapitalisme, bagai tidak sedar masalah ketara di China dan India yang berpunca dari pengamalan kapitalisme.
Hanipa Maidin dan Aziz Bari pula bersifat politically bias dalam hujah masing-masing. Keduanya memberikan alternatif politik dan sebab relevannya pilihan mereka. Ini tidak perlu diulas di sini, terpaksa diakui pengalaman saya amat cetek.
Student power!
Semangat golongan muda yang hadir sememangnya membuak-buak. Ramai tampil menyatakan pandangan, serta sesuai untuk dikatakan semuanya sepakat dengan politik kuno yang diamalkan di Malaysia tidak mampu menjamin masa depan negara dan hak individu rakyat.
Pakcik tak kalah!
Salah satu topik sisi yang mendapat perhatian ialah polisi ekonomi negara yang dilihat tertutup dan bersifat menindas. Kritikan menghujani tindakan kerajaan mengecualikan cukai pada barang-barang bukan keperluan kerana tidak membawa impak yang signifikan.
Penutup
Forum ini bukanlah pembuka lembaran baru sejarah tanah air kita, mahupun suatu perdebatan first-class yang semestinya diterima. Ia bukanlah magnum opus ataupun suatu revolusi dalam perjuangan menuntut keadilan. Namun bagi yang hadir, sudah pasti dapat merasakan suasana yang wujud ketika itu; begitu ramai anak muda yang datang mendengar. Bukan anak muda jalanan, tetapi golongan terpelajar; siswa siswi universiti, penulis-penulis muda, yang lantang memberi idea. Bagaimana mereka mahu terlibat dalam pembentukan Malaysia yang lebih maju bukan sahaja lahiriahnya malah dari segi pemikiran dan pemerintahannya.
Golongan pemuda menggalas tanggungjawab yang berat dalam menentukan masa depan negara. Selaku bakal pemimpin dan penentu masa depan negara, kita harus berusaha melakukan yang terbaik. Siapakah yang hendak kita salahkan nanti apabila negara kita dipandang rendah? Mereka yang sudah pergi? Adakah kita masih kekal dengan alasan "politik itu kotor" sedangkan realitinya kita sebenarnya takut?
Kenanglah kata-kata ini, sebagai pembakar semangat. Akhir kata Assalamualaikum.
“Berikan Aku 10 Pemuda maka akan kuguncang dunia”- ir.Soekarno