Tuesday, November 9, 2010

Langkah Politik Zaid Ibrahim


1. Datuk Zaid Ibrahim, bekas pengamal undang-undang terkenal yang mengasaskan firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO) adalah antara ahli politik yang kontroversial.

2. Sewaktu dalam Umno (baru) dulu, beliau pernah dikecam hebat kerana menyaman usaha perlaksanaan Hudud oleh kerajaan PAS Kelantan. Atas desakan kuat PAS serta nasihat pucuk pimpinan Umno, saman tersebut kemudiannya ditarik balik.

3. Bekas Ketua Umno Kota Bharu ini kemudiannya dilantik oleh Pak Lah untuk menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang). Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak menuntut keadilan kepada Tun Salleh Abbas dan 7 hakim yang teraniaya pada zaman Dr Mahathir.

4. Apabila kerajaan Pak Lah kelihatan terang-terangan menyalahgunakan ISA, Zaid secara mengejut meletakkan jawatan sebagai Menteri dan meninggalkan Umno. Beliau menyertai PKR. Populariti Zaid di kalangan penyokong Pakatan khususnya kaum Cina naik mendadak tinggi. Manakala, kebencian ahli-ahli PAS terhadap beliau kian terungkai.

5. Tawaran beliau untuk bertanding dalam pemilihan PKR kali ini adalah suatu langkah politik yang terancang. Zaid tahu peluang untuk menang adalah sangat tipis. Tetapi agenda sebenar beliau adalah untuk menggugat barisan elit-elit parti yang berkemungkinan besar akan meng’Umno’kan PKR. Dalam beberapa selekoh, usaha beliau kelihatan berjaya. Ia boleh dilihat pada peratus undi yang beliau perolehi.

6. Ada beberapa pilihan yang akan dibuat oleh Zaid untuk melangsungan karier politiknya.

7. Zaid mungkin kembali kepada Umno jika beliau seorang yang gilakan kuasa dan wang. Tapi saya fikir tindakan ini tidak akan berlaku kerana Zaid sudahpun kaya-raya. Pada tahap ini, Zaid hanya perlukan penghormatan dan pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakat. Dalam teori Maslow, ia berada pada tahap yang tertinggi.

8. Zaid juga mungkin akan menyeberangi PAS atau DAP, namun saya fikir beliau akan sukar bergerak dalam DAP dan PAS kerana beberapa kekangan yang ada.

9. Pilihan paling mungkin adalah beliau akan terus dalam PKR. Beliau atas sifat sebagai bekas Menteri dan bekas calon Timbalan Presiden PKR akan menjalankan peranan semak dan imbang dalam parti. Zaid akan mengkritik dan menegur PKR agar sentiasa dalam landasan perjuangan.

10. Pilihan di tangan Zaid. Beliau boleh membuat apa sahaja keputusan yang kontroversial dan di luar jangkaan umum. Namun terlalu banyak kontroversi boleh menggugat keyakinan umum terhadapnya.

11. Datuk Zaid, selamat maju jaya!



Komen Anda

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More